Pls click this nuffnang 2 support this page..

‘click image to view in full size’

Sunday, December 8, 2013

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

    Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Isu Syiah Di Malaysia


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 May 1996 telah membincangkan Syiah Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Bersetuju supaya keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang telah diadakan pada 24 dan 25 September 1984 [Kertas Bil. 2/8/84, Perkara 4.2. (2)] mengenai aliran Syiah yang menetapkan seperti berikut :” Setelah berbincang dan menimbang kertas kerja ini Jawatankuasa telah mengambil keputusan bahawa hanya Mazhab Syiah dari golongan Al – Zaidiyah dan Jaafariah sahaja yang diterima untuk diamalkan di Malaysia.” Dimansuhkan.
     
  2. Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
     
  3. Menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri – Negeri bagi memperuntukkan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan Negeri – Negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak.
     
  4. Memperuntukkan pindaan kepada semua Undang – Undang Negeri dan Hukum Syarak bagi menyelaraskan takrif hukum Syarak atas Undang- Undang Islam seperti berikut :” Hukum Syarak atau Undang – Undang Islam ertinya Undang – Undang Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlaq. ”
     
  5. Memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang – Undang Islam dan demikian penyebaran apa –apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang.
     
  6. Menetapkan bahawa semua umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang – undang Islam Hukum Syarak yang berasaskan pegangan kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja.
     
  7. Menetapkan bahawa penerbitan , penyiaran dan penyebaran apa- apa buku, risalah , filem , video dan lain – lain berhubung dengan ajaran Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah diharamkan.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Hukum Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak Dan Tempoh Melaksanakan Li’an Untuk Menafikan Nasab Anak


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-101 yang bersidang pada 27 September 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Nasab Anak Dan Tempoh Melaksanakan Li’an Untuk Menafikan Nasab Anak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam sangat menitik beratkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah Li’an kerana Li’an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ dan merupakan suatu amalan taabudiah.
Muzakarah juga menjelaskan bahawa Majma’ Fiqh al Islami yang bersidang pada 21 – 26 Syawal 1422 bersamaan 5 – 10 Januari 2002 telah memutuskan bahawa untuk mengisbatkan nasab, penggunaan DNA dibenarkan dan dilakukan atas perintah mahkamah hanya dalam kes pertelingkahan ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Majma’ al-Fiqh al-Islami menetapkan bahawa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya mendahului kaedah li`an.
Muzakarah menegaskan bahawa para Fuqaha’ telah bersepakat bahawa penafian nasab anak melalui kaedah li’an perlu dilakukan dengan kadar segera (عَلَى الْفَوْر)ِdan jika penafian nasab tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut.
Muzakarah turut menegaskan bahawa merujuk kepada Mazhab Shafie, terdapat dua pandangan iaitu dalam qaul qadimdan qaul jadid. Dalam qaul qadim, Imam Shafie menetapkan bahawa penafian hendaklah berlaku sejurus diketahui kelahiran bayi tersebut. Sekiranya penafian tidak dibuat, bermakna seseorang itu telah mengakui bahawa bayi tersebut adalah anaknya. Namun begitu, dalam qaul jadid, penafian tidak semestinya secara terus. Ia memerlukan masa sebelum sesuatu keputusan diambil memandangkan ia merupakan satu perkara yang penting. Ia boleh ditangguhkan sehingga tiga hari dan penangguhan hanya boleh berlaku atas sebab-sebab keuzuran.
Sehubungan itu, berdasarkan penegasan dan pandangan para ulama’ mengenai tempoh segera bagi melakukan li’anuntuk menafikan nasab anak, Muzakarah berpandangan bahawa seseorang yang hendak melakukan li’an bagi penafian nasab anaknya perlu mempunyai tempoh waktu yang munasabah sebelum membuat keputusan demi mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku.
Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan li’an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin.  Penafian setelah tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.
Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya garis panduan untuk menjalankan ujian DNA oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah diperketatkan lebih-lebih lagi dalam isu untuk menafikan nasab kerana DNA hanya sekadar qarinah atau sokongan semata-mata dan tidak boleh dijadikan bukti utama.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
“ Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Meningitis Menveo adalah diharuskan”.


Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Hukum Pemakaian Pakaian Tentera Yang Mempunyai Kalimah ‘Allah’ Dan ‘Muhammad’ Terhadap Mayat Bukan Islam Dalam Upacara Pengkebumian


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-104 yang bersidang pada 2-4 September 2013 telah membincangkan Hukum Pemakaian Pakaian Tentera Yang Mempunyai Kalimah ‘Allah’ Dan ‘Muhammad’ Terhadap Mayat Bukan Islam Dalam Upacara Pengkebumian. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan-pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Lafdz Al-Jalalah (Allah) dan Muhammad (Nabi Muhammad SAW) adalah merupakan kalimah yang wajib dipelihara kehormatannya daripada sebarang perkara yang boleh mencemarkannya seperti memakai/membawa kalimah-kalimah tersebut ke upacara ibadat orang bukan Islam atau pun ke tempat-tempat yang boleh menyebabkan terkena najis.
     
  2. Muzakarah juga menegaskan bahawa para ulama’ berpandangan bahawa adalah haram menulis sesuatu daripada ayat al-Quran atau nama yang diagungkan pada sesuatu objek yang berkaitan dengan mayat kerana ia akan terkena najis nanah yang bercampur darah.
     
  3. Sehubungan itu bagi menjaga kehormatan kedua-dua kalimah tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan pakaian tentera atau sebagainya yang mempunyai kalimah Allah dan Muhammad samada dalam tulisan rumi atau jawi pada mayat orang Islam atau bukan Islam adalah dilarang.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Isu Status Hasil Caj Abstraksi Sumber Air Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Daripada Syarikat Yang Menjalankan Aktiviti Operasi Harian Tidak Halal


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-104 yang bersidang pada 2-4 September 2013 telah membincangkan Status Hasil Caj Abstraksi Sumber Air Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Daripada Syarikat Yang Menjalankan Aktiviti Operasi Harian Tidak Halal. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan-pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan  Imam al-Ghazali berpandangan bahawa harta bercampur yang tidak terkira tidaklah dihukum haram dengan sebab percampuran dan kemungkinan-kemungkinan yang wujud antara halal dan haram tersebut, melainkan ada qarinah (tanda-tanda) yang jelas menunjukkan pengharamannya. Nabi SAW juga pernah menerima hadiah dari kerajaan negara asing yang bukan Islam tanpa mempersoalkan sumbernya. Begitulah juga para sahabat r.a. telah mengambil jizyah, ushur dan cukai-cukai lain daripada orang-orang kafir yang wajib dibayar kepada kerajaan Islam tanpa mempersoalkan sumbernya.
     
  2. Oleh yang demikian, Muzakarah berpandangan bahawa tidak menjadi kesalahan kepada pihak kerajaan atau syarikat yang dilantik kerajaan untuk menerima atau mengenakan caj/cukai kepada sesebuah syarikat perniagaan, sekalipun wujud kemungkinan sumber yang tidak halal kerana pembayaran cukai adalah satu tanggungjawab kepada Kerajaan untuk maslahah ummah. Sekiranya wujud aktiviti yang haram, maka sifat haram tersebut hanyalah pada zimmah pemilik syarikat tersebut bukan kepada orang yang berurusan dengannya sebagaimana firman Alah SWT dalam Surah an-Najm,ayat 39 yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”
     
  3. Sehubungan itu, mengenai status caj abstraksi sumber air yang dikenakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kepada syarikat yang menjalankan aktiviti operasi harian tidak halal, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ianya adalah diharuskan kerana selaku pihak yang dilantik oleh pemerintah (Ulil Amri), LUAS bertanggungjawab mengurus dan memberikan perkhidmatan air untuk maslahah ammahseluruh masyarakat.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 telah membincangkan Hukum Shisha Menurut Pandangan Syarak. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar-pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan meneliti maklumat serta bukti-bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudharatan besar yang dihadapi akibat daripada shisha terhadap kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi pada masa akan datang, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa shisha adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap shisha atau menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan shisha.
     
  2. Muzakarah menegaskan bahawa pengharaman Shisha ini adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada al-Quran dan Hadith serta Kaedah Fiqhiyyah bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari’yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara sepertimana tuntutan syarak, kerana Shisha jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji, berdasarkan nas-nas berikut:
    1. Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 :
      Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
       
    2. Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157;
      “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
       
    3. Sabda Rasulullah s.a.w :
      Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
       
    4. Kaedah Usul Fiqh:

سد الذريعة - iaitu “Menutup pintu kerosakkan” 
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح – iaitu “menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”.

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa


Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keterangan/Hujah: 
  1. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
     
  2. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.
     
  3. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
     
  4. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
     
  5. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
     
  6. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
     
  7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.
     
  8. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.
     
  9. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
     
  10. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi factor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
     
  11. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.
Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Isu Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam. Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.
Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.
Seperti yang sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:
(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(3) perbuatan.
Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis
Keterangan/Hujah: 
  1. Pengajaran Yoga berasal-usul daripada kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’. Menurut kitab ini ‘Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman). Tujuan Yoga (nirvana moksha) adalah untuk melepaskan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad.
     
  2. Tidak wujud yoga menurut agama Islam tetapi yoga wujud di dalam agama Hindu, Buddha, Yahudi dan Kristian.
     
  3. Maksud istilah yoga sendiri telah menjelaskan bahawa ia mengandungi unsur-unsur Hinduism. Masyarakat Hindu mengamalkan yoga sebagai satu cara untuk mendapatkan ketenangan dan bersatu dengan tuhan-tuhan mereka.
     
  4. Unsur-unsur pengaruh hindu yang dipromosikan secara halus melalui Trancendental Meditation dalam amalan yoga merupakan mantera agama hindu yang disebarkan untuk kegunaan semua penganut agama.
     
  5. Agama Islam yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. telah menyediakan berbagai kaedah kerohanian kepada umatnya untuk mencari atau mencapai ketenangan diri dan umat Islam tidak perlu merujuk atau mengikut kepercayaan atau amalan agama lain.
     
  6. Amalan yoga adalah salah satu dakyah halus yang digunakan untuk mengembangkan pengaruh hindu.
     
  7. Yoga ini pada awalnya diperkenalkan di negara-negara barat kerana masyarakat sentiasa mengalami stress. Apabila ketenangan dapat dicapai melalui yoga, mereka mendapati produktiviti kerja semakin bertambah baik dan atas dasar ini yoga dianggap antara kaedah terbaik memulihkan kesihatan dan memajukan diri.
     
  8. Mengandungi unsur-unsur falsafah agama lain dan kesyirikan, adalah haram bagi umat Islam mengamalkannya.
     
  9. Singapura walaupun hanya mempunyai minoriti umat Islam telah mengharamkan yoga atas dasar mengandungi unsur-unsur syirik yang boleh merosakkan akidah orang Islam.
     
  10. Adalah wajar umat Islam dilarang daripada melakukan apa jua amalan atau senaman yang mempunyai kaitan dengan unsur syirik atau pemujaan agama lain.
Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid)


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan  Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Keterangan/Hujah: 
  1. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.
     
  2. Majoriti ulama' bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki. Maksud menyerupai ini termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.
     
  3. Apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT dan ikutan yang membuta tuli yang akan mengancam golongan remaja Islam di seluruh dunia.
     
  4. Gejala pengkid ini telah lama menular di negara-negara barat dan perlakuan hubungan sesama jenis adalah akibat dari gejala ini yang seolah-olah menjadi fenomena biasa.
     
  5. Walaupun hukum Islam jelas melarang perlakuan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, tetapi kebanyakkan umat Islam tidak memandang serius larang tersebut.
     
  6. Isu pengkid juga berkaitrapat dengan kedudukan hiburan yang melampau dan pergaulan bebas di kalangan remaja.
Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran


Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam  Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan:
“ Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya.  Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus  menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.
Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam.  Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan. 
Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az- Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri  dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat.  Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.
Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”

Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
     
  2. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.
Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Hukum Menanam Rambut Di Kepala


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Menanam Rambut Di Kepala. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelokkan diri dari keaiban, selagimana tidak bertentangan dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudharat.
Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa

Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah disunatkan untuk mendapat keberkatan. Walaubagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.
Sumber : Portal Rasmi Fatwa Malaysia [JAKIM] --> e-fatwa